Friday, June 12, 2009

Catur, X-Box, Play Station : Hukum Main, Jual & Kerja

www.iluvislam.com
Ustaz Zaharuddin Abd.Rahman*
Editor: lailatulema



Soalan: Apakah hukumnya bagi seseorang yang bekerja sebagai seorang pereka grafik/animasi untuk permainan komputer atau yang terlibat dalam pembikinan games itu sendiri?Apakah hukum bermainnya pula?Adakah pekerjaan tersebut dikira sebagai haram dilaksanakan kerana secara asasnya, permainan komputer kadang-kala melekakan pemainnya?Adakah pereka permainan tersebut menanggung dosa pemain tersebut sekiranya mereka bermain sehingga meninggalkan solat, sebagai contoh?

Jawapan: Bagi memberikan jawapan dalam hal ini, pertamanya kita perlu menentukan terlebih dahulu APAKAH HUKUM PERMAINAN/ GAMES' ITU SENDIRI?, hanya selepas itu kita mampu mengetahui hukum individu yang bekerja dalam pembikinannya.

Bagi mengetahui hukum sesebuah permainan, saya suka untuk merujuk kepada perbahasan ulama dalam bab hukum bermain catur. Benar, di zaman silam tiada play station 3, x-box, wii-games dan yang sepertinya, antara permainan yang ada serta mempunyai beberapa persamaan adalah catur . Justeru saya meyakini dengan memahami hukum catur, kita akan dapat menentukan sikap terhadap permainan moden yang disebut tadi, dari sudut asasnya.

Saya tidak ingin mengulas terlalu panjang lebar dan terlalu ilmiah sambil menyertakan perdebatan ulama berkisar hukum bermain catur, cukuplah saya menghidangkan ringkasan sahaja. Secara umumnya di dalam perbincangan hukum permainan catur, ilmuan Islam berbeza kepada tiga jenis pendapat :-

1)Harus : Namun Dengan Syarat
Antara yang paling diketengahkan dalam kumpulan ini dari kalangan ulama kontemporari adalah Syeikh Dr Yusuf al-Qaradawi. Beliau juga menyandarkan pendapat HARUS ini kepada beberapa orang sahabat seperti Ibn Abbas, Abu Hurairah, dan tabi'en seperti Said al-Musayyab dan malah Imam al-Baihaqi ada meriwayatkan beberapa ulama terhebat tabien yang turut bermain catur seperti Said ibn Jubair, As-Sya'by dan lain-lain. Imam Al-Ghazzali juga turut tergolong dalam kelompok ini. ( As-Sunan al-kubra, al-bayhaqi, 10/211)

Justeru, Al-Qaradawi dalam fatwanya menyebut :

Menurut pendapat dan ilmu kami bahawa permainan catur itu menurut hukum asalnya adalah mubah(harus), sebab tidak ada dalil yang menunjukkan pengharaman catur, malah selain daripada ia dikira lahwun (lalai) dan hiburan, catur mempunyai nilai positif yang berperanan sebagai merupakan sukan minda dan melatih berfikir.

Antara syarat yang diletakkan oleh Al-Qaradawi :-

· Tidak menangguhkan waktu solat dan kewajiban lain disebabkan keasyikan permainan itu.

· Tidak disertai dengan judi dan pertaruhan.

· Hendaknya pemain dapat menjaga lisannya dari perkataan kotor seperti maki hamun kerana tewas dan sebagainya. ( Al-Halal wal Haram Fil Islam, hlm 273, cet Al-Maktab Al-Islami)

Melalui pendapat ini, jelas bahawa sebab-sebab pengharaman yang mungkin datang bukanlah kerana catur atau permainan itu sendiri, tetapi lebih kepada sebab-sebab luaran.

Oleh itu, jika berdasarkan pendapat ini, games moden turut diharuskan dengan syarat yang disebut oleh al-Qaradawi dan ditambah satu lagi menurut pendapat saya iaitu : mestilah intipati games yang direka cipta atau dbeli itu tidak bercanggah dengan Islam dan hukumnya. Iaitu konsepnya, ideanya, gambarnya dan lain-lain.

2) Haram : Yang melarang
Antara mereka adalah Ali bin Abi Talib r.a, Ibn Umar r.a, Ibn Abbas r.a, Mazhab Hanafi, Hanbali, dan Maliki. Demikian juga Ibn Taymiah dan kebanyakan ulama kontemporari Saudi, pandangan haram ini juga dinisbahkan kepada beberapa orang sahabat seperti Ibn Umar. Imam Abu Hanifah dan Imam Malik turut termasuk dari mereka yang mengharamkannya. Demikian dinukilan oleh Imam Ibn Qudamah dan lain-lainnya. ( Mughni, 10/172)

Ulama kontemporari Saudi turut mengharamkannya malah mereka mengatakan semua syarat yang diletakkan oleh Qaradawi itu amat jarang dipenuhi oleh sang pemain.

Ibnu Taimiyah pernah berbicara panjang di dalam masalah ini, dari halaman 216 hingga halaman 245 jilid XXXII dari kitab Majmu Fatawa, antara kata beliau :

"Misalnya kita tetapkan bahwa permainan catur itu bebas dari itu semua -maksudnya tidak melalaikan kewajiban dan tidak akan melakukan hal yang haram- maka larangan perbuatan itu ditetapkan oleh para sahabat. Sebagaimana yang sohih dari Ali bin Abi Thalib Radhiyallahu ‘anhu, bahwa beliau pernah menjumpai kaum yang sedang bermain catur. Lalu beliau mengatakan

Ertinya : "Mengapa kamu menekuni patung ini? Sungguh jika salah satu diantara kamu menggengam bara api sampai padam itu lebih baik daripada memegang catur" ( Riwayat Al-Baihaqi, 10/212)

Kumpulan yang mengharamkan mengatakan penyamaan mainan catur dengan patung (berhala) yang dibuat oleh Ali itu jelas menunjukkan bahawa ia satu permainan yang haram.

Ibn Taimiah pula menisbahkan Imam Syafie sebagai berkata : "Permainan yang paling aku benci adalah an-nard, permainan catur dan permainan burung dara sekalipun tanpa perjudian. Sekalipun kebencian kami kepada permainan itu lebih ringan dari pada permainan dadu"

Namun demikian, apa yang jelas, tiada satu hadis yang sohih menyatakan pengharaman catur, hanya wujud adalah perdebatan berkenaan pandangan para sahabat sahaja. Cuma Imam Ibn Qudama cuba membawa dalil berikut sebagai hadis pengharamannya :-

Ertinya : Sesungguhnya Allah swt sentiasa melihat (kepada hambanya) pada setiap hari sebanyak 360 kali pandangan, dan orang yang bermain catur ini tiada termasuk dari kalangannya ( Al-Mughni, 10/172)

Ibn Qudamah kemudiannya terus menghuraikan pemain catur sama seperti pemain an-nard kerana lalainya mereka semasa bermain dari ingatan terhadap Allah swt. Namun demikian, penyamaan ini (qiyas) ini ditolak oleh ulama Syafie kerana perbezaan konsep asas antara kedua permainan tadi.


3)Makruh (tidak begitu digalakkan)
Antaranya adalah Imam As-Syafie dan merupakan pandangan mazhab Syafie.Imam Syafie berkata ertinya : Apabila catur tidak besertanya pertaruhan dan kata-kata maki hamun, melupakan solat, maka ia TIDAK lah termasuk dari yang haram ( Tafsir Ibn Kathir, 6/40 )

Imam an-Nawawi menjelaskan pendirian mazhab Syafie dengan katanya :-

Ertinya : Adapun catur, dalam mazhab kami (Syafie) ia adalah makruh dan tidak jatuh haram, dan ia (keharusannya) juga diriwayatkan dari kumpulan tabien; namun menurut Imam Malik dan Ahmad, ia adalah haram dan Imam Malik berkata ia lebih buruk dari An-Nard ( sejenis permainan arab yang berasakan judi), serta melekakan diri dari kebaikan, justeru mereka menqiyaskan catur dengan an-nard, namun dalam ahli-ahli dalam mazhab kami (Syafie) tidak bersetuju dengan qiyas tersebut. ( Syarah Sohih Muslim, An-Nawawi, hadis no 2260, jil 15, hlm 15)

Imam al-Ghazali pula memberikan perbezaan antara catur dengan an-nard dengan hujjahnya ia berbeza adalah kerana :

Catur adalah mainan latihan perangkaan strategi perang, ia lebih mirip kepada sukan memanah, berkuda dan berlumba ( dari sudut manfaatnya) ( Rujuk Al-Wasit, 7/353 )

Kesimpulan hukum main catur

Dari sudut dalil yang diberi serta banyak lagi yang tidak disertakan, saya berpandangan yang HARUS TETAPI MAKRUH JIKA BERLEBIHAN adalah lebih kukuh.

Tidak dinafikan bagi seseorang yang ulama atau ahli agama, pandangan YANG MENGHARAMKAN tentunya terpakai untuk dirinya. Bukankah status kedudukan para ulama itu menjadikan dirinya perlu lebih ketat dalam pengalaman berbanding orang awam. Sebagai kata-kata yang kerap kita dengari

"Kebaikan yang dilakukan oleh orang awam, masih dikira keburukan bagi seorang yang hampir dengan Allah swt"

Ertinya bagi seorang yang soleh, mengkahatamkan al-quran sebanyak satu kali pada bulan Ramadhan boleh dianggap satu kesalahan dan aib, berbanding orang awam yang dikira sebagai satu kejayaan besar. Jika piawaian ini diambil kira bolehlah kita katakan, pandangan ‘HARUS DENGAN SYARAT' atau ‘MAKRUH' lebih ringan untuk dihidangkan kepada orang awam khususnya : -

  * Tiada dalil spesifik yang menyokong pengharaman,

  * Hujjah yang mengatakan haram semuanya disebabkan wujudnya faktor luaran seperti lupa Allah SWT, judi dan sepertinya, maka jika tiada faktor-faktor ini bak kata Imam al-Ghazzali, semuanya kembali menjadi hukum mubah.

  * Qiyas catur dengan an-Nard adalah tidak tepat sebagai pandangan mazhab Syafie kerana an-Nard sememangnya diasasi oleh perjudian berbanding catur yang amat boleh dimainkan tanpa pertaruhan.

Namun begitu, walaupun ia ‘harus dengan syarat' atau ‘makruh' sahaja, saya amat bersetuju dengan fatwa Imam al-Ghazzali yang lebih kurang sama dalam bab muzik. Gunakanlah ia secara terkawal dan tidak terlalu kerap kerana ia umpama ubat, yang tidak boleh terlalu kerap, kelak akan membawa mudarat.

Gunakan ia hanya untuk menghilang kebosanan sama seperti bergurau senda, ketawa, bersukan dan sebagainya. Tentunya penenang yang hakiki adalah pada membaca dan menghayati AL-Quran, zikir dan membaca, namun tidak semua manusia sama status iman mereka, tatkala itu amat relevan kata-kata Nabi kepada Hanzalah dan Abu Bakar r.a yang kerisauan kerana masih boleh berehat-rehat ketiak di rumah dengan isteri dan anak, sedang mereka begitu serius ketika mendengar kuliah Nabi s.a.w berkenaan akhirat dan lainnya :

Ertinya : Wahai Hanzalah ; satu waktu (zikir dan ibadah khusus serta serius) dan satu waktu lain pula ( rehat dan ringan) ( Riwayat Muslim)

Berkenaan hukum menjual catur di dalam mazhab Sayfie, disebabkan mazhab ini mengganggap catur sebagai makruh, hukum menjualnya juga turut makruh. (Al-Majmu', An-Nawawi, 9/243)

Jawapan kepada soalan

Jika demikian perbincangan kita, hukum bermain games PS1,2, dan 3 juga harus dengan makruh jika berlebihan, dan haram hanya apabila melanggar perkara asas yang telah disebutkan di tadi.

Tatkala itu, saya berpandangan, hukum terlibat sebagai programmer computer, grafik animator dan sepertinya bagi pembikinan sesebuah games adalah turut HARUS, namun ia bukankah satu kerja yang terbaik dan terpilih bagi individu yang mahu jelas hilang dari sebarang syubhat.

Unsur syubhat wujud khususnya kerana pencipta permainanan itu TIDAK MAMPU mengawal kekerapan, dan addicted sang pemain serta kelalaian mereka.

Asalnya penjual dan pencipta barang jualan yang bersifat neutral TIDAK menanggung sebarang tanggungjawab jika pembeli menggunakan barang neutral itu untuk tujuan jahat. Seperti penjual lap top computer, pisau, Television, printer dan sebagainya. Semua ini tergolong dalam kategori neutral yang mana pengguna akan menentukan sama ada ia digunakan kepad adosa atau pahala.

Namun berbeza dengan PENJUALAN GAMES; kerana amat diketahui, permainan itu diciptakan sememangnya untuk dimain, menghiburkan pembeli, malah lebih baik jika mampu dicipta kecanggihan sehingga boleh menjadikan pemain ketagih dengannya. Tatkala itu, pencipta games menanggung beban tanggungjawab kepada mainan ciptaannya, berbeza dengan barangan neutral yang saya sebutkan di atas.

Justeru, jika permainanan yang direka yang bersifat pendidikan ilmu fardhu kifayah seperti matematik atau permainan serampang dua mata, hiburan dan pendidikan atau lebih hebat dari itu ia membawa kepada kesedaran Islam. Tatkala itu ia menjadi sunat pula dan pahala yang diperolehi oleh penjual juga.

Hukum boleh berubah pula menjadi HARAM apabila kandungannya dan paparan terdapat hal yang bertentangan dengan Islam.

Sekian 

*Sumber artikel ini adalah dari laman web UZAR di http://www.zaharuddin.net/

wahh...saja aku copy artikel ni sbb teringat dulu2 aku suka sangat main pc games sampai kewajipan terabai..

No comments:

Post a Comment